"Haji Kasdan tersentak dari lamunan apabila Datuk bendahara mengatakan Melayu mudah lupa, orang melayu malas, orang melayu suka menghabiskan duit untuk bersuka-ria, lebih banyak berborak dan bermain dam dari sibuk berkebun mencari rezeki dan bermacam-macam lagi katanya terhadap penduduk Malukut"Hari ini orang Melayu disebuah kampung yang bernama malukut sedang berduyun-duyun datang untuk berhimpun disebuah padang dibelakang pekan sehari yang berhampiran dengan jeti penambang. Semua penduduk kampung Malukut yang datang dengan pakaian yang sama warnanya, kerana itulah arahan dari mamak bendahara. Yang lelaki memakai tanjak yang sama warna dengan baju, begitu juga yang siperempuan memakai baju kurung dan tudung yang sedondon jua. Kerana itulah arahan yang disampaikan oleh Datuk Penghulu 2 hari sebelum perhimpunan ini dibuat.
Pekan sehari ini digunakan oleh penduduk kampung Malukut untuk berjual beli barangan seharian. Menjadi tempat bertanya kabar, bergembira dan bergelak ketawa ketika meneguk secawan kopi di kedai 'Kopitiam' Ah Seng sambil jari telunjuk menolak buah dam aji selepas penat mendayung sampan kolek untuk ke pekan sehari Malukut. Penduduk Malukut bukanlah orang miskin, semuanya mempunyai tanah bergeran dari kerajaan negeri, kerjaan seharian sebagai petani atau pekebun, malah dusun tidak terbilang banyaknya, apabila musim durian tidak termakan anak-beranak, habis dibuat tempoyak. Rambutan gugur setelah busuk diatas dahan, begitu juga manggis dan langsat. Mana yang rajin membawa pergi ke Pekan sehari untuk ditukar dengan beras atau ikan masin di kedai Ah Tong. Ah Tong bukan sahaja berniaga barangan runcit dikawasan penambang ini tapi juga menjadi peraih barangan kampung penduduk Malukut untuk dihantar keluar. Selain itu Ah Liau pula membeli getah dari penduduk kampung dan juga disebelah stor getahnya terdapat 6 meja mahjung disediakan untuk penduduk bersantai bermain mahjung. Pada mula kedatangan Ah Liau, Mat Tebu lah orang yang pertama belajar bermain mahjung, kemudian diikuti oleh Zamzam, Mat Tenggek, Pak Kancil dan kini makin ramai yang dah tahu mengira dan mengenal buah mahjung. Kadangkala anak-anak kecil menanguk ditepi meja sambil menunggu ayahanda mereka yang sibuk dengan buah mahjung. Dihujung jeti penambang terdapat sebuah bengkel membaiki perahu yang dipunyai oleh Kam Seng, terdapat 3 orang pandai perahu yang bekerja dengannya, semuanya anak jati melayu Malukut, katanya "Wa punya pelanggan semua Melayu maaa, mesti olang melayu jugak kasi bikin, pasai diaolang tau apa olang kampung suka maa"
Kedatangan mereka berempat dikampung Malukut menjadikan penduduk Malukut gembira, aktif dalam kegiatan bersosial, pantang sahaja hujan renyai mereka akan berkumpul kalau tidak di 'kopitiam' Ah Seng menolak dam sudah pasti sedang sibuk mengacau buah mahjung. Penduduk Malukut merasa seperti satu rahmat dari kedatangan mereka berempat kerana kini penduduk kampung tak takut keputusan wang, pasti 4 orang towkey ini sudi meminjamkan wang kepada mereka. Kalau sikit-sikit pinjamnya hasil dari dusun sebagai cagaran tapi kalau ribuan ringgit mereka kena meletakkan geran tanah sebagai sandaran atau jaminan. Haji Kasdan baru tahun lepas menunaikan haji dengan wang yang di beri pinjam oleh Ah Liau dengan sandarannya tanah dibaruh yang luasnya 10 ekar dan penuh ditanam dengan durian. Ketika ini Haji Kasdan sedang bertungkus-lumus mengusahakan sebidang tanah lagi kepunyaannya yang ditanam dengan getah, sedangkan ketika ini harga getah sedang jatuh menjunam, entah bila hutangnya akan selesai. Ah Liau pernah berkata kepada Haji Kasdan "Haiya Haji, apa pasat lu susah-susah keleja, lu sutah tua, itu utang lagi ada manyak, itu tanah kasi tukar saya punya nama, lu punya utang kasi habis maa". Termenung Haji Kasdan di meja Kopi Ah Seng. Mereka berempat ini digelar Towkey Malukut.
Di padang semua pemimpin kampung Malukut telah sampai, mereka duduk didalam balai orang kenamaan, dibarisan hadapan adalah barisan orang-orang Datuk bendahara, sambil disulam baris oleh 4 orang towkey Malukut, barisan kedua adalah barisan orang-orang kenamaan kampung Malukut, iaitu Penghulu, Ketua kampung dan ahli jawatankuasa kampung. Manakala barisan ketiga adalah barisan pemukul kompang dan ahli pencak silat kampung Malukut. Mereka adalah pendekar yang diharapkan oleh orang kampung untuk menjaga keamanan kampung dan sudah tentu yang dipukulnya juga penduduk kampung yang sama, malah saudara dan sepupu mereka juga dibelasah jika mereka rasa perbuatan mereka bertentangan dengan kehendak mereka, nyata mereka menjalankan tugas menjaga keamanan kampung dengan baik. Beberapa orang dari mereka juga menjadi pengawal kepada 4 orang towkey Malukut.
Datuk Bendahara mula berdiri dan memulakan mukaddimah ucapan dengan penuh bersemangat. Katanya orang kampung perlu bersatu padu untuk mempertahankan negeri, menjaga kedaulatan raja, mengamalkan hidup bertoleransi, meningkatkan perpaduan tidak mengira bangsa dan berbagai lagi pesanan yang sangat merangsang semangat. Katanya kerajaan sentiasa membantu masyarakat, katanya kami menyediakan pinjaman untuk sekolah anak-anak, menyediakan pinjaman untuk berniaga, menyediakan pinjaman untuk tujuan peribadi, menyediakan pinjaman untuk menebus tanah dan berbagai lagi pinjaman yang disediakan. Sambil itu memyatakan bahawa kerajaan terpaksa menaikkan cukai barangan yang dibawa oleh penduduk melalui jeti penambang tersebut, demi kesejahteraan negeri, cukai tanah juga perlu dinaikkan supaya katanya masyarakat menjadi bertanggungjawap menyayangi harta yang ada.
Penduduk Malukut tunduk memandang ke tanah sambil menahan terik bahang matahari petang, mereka tak berani untuk bersuara kerana kumpulan barisan ketiga dibawah balai kenamaan sudah memanjangkan leher untuk melihat kalau-kalau ada antara penduduk kampung yang berani untuk membantah. Haji Kasdan merasa seperti hendak pitam apabila mendengarkan cukai hendak dinaikkan, dalam hatinya berkata bila hutangnya dengan Ah Liau akan langsai, beliau mula berkira untuk terus menukar nama tanah tersebut kepada nama Ah Liau agar hilang segala kegusaran dihati, tapi apabila dikenangkan akan diketahui oleh anak-anaknya tentu akan jadi tentangan pula. Haji Kasdan tersentak dari lamunan apabila Datuk bendahara mengatakan Melayu mudah lupa, orang melayu malas, orang melayu suka menghabiskan duit untuk bersuka-ria, lebih banyak berborak dan bermain dam dari sibuk berkebun mencari rezeki dan bermacam-macam lagi katanya terhadap penduduk Malukut, 4 towkey tersenyum sinis mendengar ucapan dari Datuk Bendahara tersebut. Haji Kasdan mengetus didalam hati "Ahhh, kau pandai bercakap. Kau jadi pemimpin disebabkan mengikut keturunan, bapa kau bekerja dengan sultan, hidup kau tak pernah susah, tanah orang kau ambil dengan alasan pembangunan, apabila ayahanda kau meninggal kau terus mengambil alih jawatan tanpa banyak masalah, kau bersekolah pun bukan dengan orang Melayu, nun dinegeri orang putih, dah dewasa baru kau kembali kesini. Apa yang kau tahu dengan masalah kami. Pandai pulak kau mengata kami dengan berbagai cacian. Kau berketurunan Melayu, kau yang memerintah, kalau kau pun tak tahu untuk memberi kebaikan kepada kami, dimana hendak kami mengadu, bukankah jalan yang paling mudah dengan 4 towkey didepan mata kami ini, kau tunggulah masanya kau membayar kos yang telah kau buat selama ini" Haji Kasdan rasa hendak meludah sahaja ditengah khalayak apabila memandang barisan kenamaan dibawah balai tersebut.
Lalu Haji Kasdan keluar dari perhimpunan menuju kejeti penambang untuk pulang kerumah dengan rancangan yang tersemat dihati......Sekian
No comments:
Post a Comment